FOTO : Carian Google
Saya nak kongsi cerita kenapa saya boleh terus bertahan dalam bidang ini. Bidang yang orang buat secara part-time tapi saya membuat keputusan untuk membuat secara full-time.
Bermula langkah saya sebagai hometutor, tak pernah sebulan pun lagi setakat ini saya menjadi penganggur tanpa sebarang kelas. Sungguh ajaib bidang ini. Paling sedikit saya pernah peroleh ialah RM100 untuk satu bulan. Memang sangat sedikit tapi percaya atau tidak walaupun di musim cuti sekolah, kelas tak pernah putus. Hampir dua tahun saya menjadi hometutor. Alhamdulillah.
Dan sedikit pengalaman pahit semasa saya mengajar di bawah satu organisasi hometutor secara berkumpulan. Dek kerana sedikit masalah di pihak pengurusan, sampai hari ini saya tidak memperoleh apa-apa bayaran. Saya membuat keputusan untuk berhenti dan bergerak secara sendiri.
Pengalaman pertama saya mengajar dua beradik lelaki dan perempuan. Pertama kali saya ke rumah mereka berbekalkan alamat dan no.telefon ibu mereka, saya pergi dengan beraninya. Memang masa tu agak takut-takut juga sebab pertama kali ke rumah orang yang tidak kita kenal. Alhamdulillah sifat saya yang memang terkenal dengan 'banyak mulut' memberi peluang untuk saya mendekati kedua beradik tersebut. Dan walaupun agak nakal, mereka tetap masih hormatkan saya. Sampai sekarang saya masih mengajar salah seorang daripada mereka kerana si kakak sudah tamat UPSR.
Pengalaman kedua saya ke rumah seorang pelajar Tingkatan 4 yang sangat lemah matematiknya. Saya memang sangat menguasai matematik. Wah, puji diri sendiri. Hehe. Sebabnya saya memang suka menggunakan logik akal bila menyelesaikan soalan matematik. Pelajar ini pula masalah utamanya cepat lupa cara kira dan kurang faham setiap permasalahan yang diberi. Pada awalnya sukar juga nak menerangkan setiap tajuk dengan logik akal tapi saya cuba sampai dia faham. Sampai sekarang, saya megajar pelajar ini dan adiknya bersama teman-teman lain. Sungguh. Kadang-kadang terasa sebahagian daripada mereka dan mengembalikan nostalgia SPM. Dan bersama mereka buat saya lupa, saya bukan pelajar SPM lagi.
Pengalaman ketiga saya bersama dua beradik angkat yang berbeza sifat dan cara. Paling mencabar untuk mengajar si adik yang sangat aktif. Sebenarnya saya cuma mengambil alih cikgu tuisyen mereka yang sambung belajar. Tanpa saya sangka saya terus mengajar mereka sampai sekarang. Walaupun si adik sangat aktif kaki tangan tapi bila ada sesi pembelajaran, dia akan turutkan arahan yang saya beri. Alhamdulillah. Si abang pula suka bercerita. Belajar sekejap, tapi ceritanya panjang berjela. Pandai-pandailah melayan jangan sampai terlebih sudah...
Dan seterusnya, saya mengajar pelajar-pelajar lain yang kebanyakannya belajar untuk peperiksaan terdekat. Jadi sesi pembelajaran pun singkat sahaja. Macam-macam cerita dan kisah disebalik kegembiraan di wajah mereka. Sebagai hometutor, kita boleh mendengar tapi sekadar mendengar dan dijadikan pedoman diri sendiri dan dijadikan ingatan atau nasihat buat rakan.
Semakin hari semakin kuat semangat saya untuk terus bekerja sendiri, bila melihat anak-anak didik saya, saya yakin saya buat keputusan yang betul. Mungkin kisah ini lebih berbentuk kepada catatan peribadi tapi sekadar catatan untuk saya baca di kemudian hari. Semoga kita semua tabah menghadapi hidup ini. Sekian.
No comments:
Post a Comment