FOTO : Faizah Yusoff
Hari ini 30 Disember, adik saya satu-satunya pergi sekolah ambil keputusan peperiksaan. Di Kelantan, konsep pembelajaran di sekolah-sekolah agama rakyat agak berbeza dengan sekolah biasa. Adik saya bersekolah di Maahad yang merupakan sekolah agama rakyat di bawah kelolaan Kerajaan Negeri Kelantan.
Di Maahad atau sekolah agama rakyat yang lain, subjek yang diajar adalah lebih banyka berbanding di sekolah menengah biasa. Antara subjek lain yang kami pelajari ialah Tafsir, Hadis, Al- Qur'an, Sirah, Nahu, Soraf, Tauhid, Feqah, Adab Nusus, dan banyak lagi. Teknik yang utama untuk subjek-subjek ini ialah menggunakan teknik faham dan hafal. Bunyi macam banyak tapi semua subjek-subjek ini memang sangat seronok untuk dipelajari. Alhamdulillah. Sungguh, kadang-kadang hati saya terasa rindu dengan zaman-zaman hafal menghafal.
Hari ini adik saya ke sekolah menerima keputusan SMU. SMU atau Sijil Menengah Ugama adalah wajib diduduki oleh pelajar Tingkatan 4 di setiap sekolah agama rakyat di Kelantan. Alhamdulillah, dia mendapat JAYYID JIDDAN. Walaupun bukanlah yang paling cemerlang tapi saya bersyukur sekurang-kurangnya saya melihat usaha dan semangat dia menghafal setiap pelajaran. Yang paling cemerlang ialah Mumtaz. Agak kecewa katanya tapi saya katakan, mungkin setakat itu usaha kita, nanti boleh usaha lagi untuk SPM tahun depan.
Keputusan adalah sesuatu yang ditunggu-tunggu. Tapi kalau mendapat apa yang tidak diharapkan jangan cepat mengalah kerana setiap yang terjadi ada terselit 1001 hikmah yang tidak kita sedar.
Tahniah buat adikku walaupun tidaklah mendapat keputusan yang paling cemerlang, sekurang-kurangnya, usahamu tidak sia-sia. I am proud of you.
Kata adik saya, kawan-kawan yang lain jauh lagi hebat, Mumtaz semuanya... Tapi dia hanya mendapat dua Mumtaz saja.
Sebab itulah kena usaha awal-awal dik kalau mahukan kejayaan.
Sijil atas ini saya punya. Hehe. Walaupun tidak cemerlang sangat tapi saya memang jenis redha saja berapa yang saya dapat sebab saya tahu usaha saya setakat mana.
So, buat adik-adik di luar sana jangan sedih ya, usaha lagi. Mungkin tak semudah bagai dikata tapi ingat, ilmu bukan di sijil semata tapi harus dicerna dalam jiwa dan diamal setiap masa.
Gambar ini sekadar perkongsian bukan niat mahu menunjuk-nunjuk sebab keputusan kami dua beradik memang tak cemerlang pun. Hehe.
Sekadar terimbau kenangan lama.
Rindu zaman berdiri atas kerusi sebab tak ingat bila ustazah soal.
Sebenarnya, menarik juga cerita kami di sekolah agama rakyat. Saya tahu ramai yang tidak jelas tentang kedudukan sekolah agama di Kelantan. Ramai menyangka kami belajar seperti sekolah Maahad biasa dan berita suka menggemburkan tentang rosaknya akhlak pelajar sekolah agama. Dan suka meletakkan nama 'pelajar sekolah agama' ditangkap khalwat sebagai satu bahan sensasi mereka.
Kelak saya akan kongsikan cerita lagi Insya'Allah.