Wednesday, 30 December 2015

JAYYID JIDDAN! ALHAMDULILLAH.

TEKS : Faizah Yusoff
FOTO : Faizah Yusoff

Hari ini 30 Disember, adik saya satu-satunya pergi sekolah ambil keputusan peperiksaan. Di Kelantan, konsep pembelajaran di sekolah-sekolah agama rakyat agak berbeza dengan sekolah biasa. Adik saya bersekolah di Maahad yang merupakan sekolah agama rakyat di bawah kelolaan Kerajaan Negeri Kelantan. 

Di Maahad atau sekolah agama rakyat yang lain, subjek yang diajar adalah lebih banyka berbanding di sekolah menengah biasa. Antara subjek lain yang kami pelajari ialah Tafsir, Hadis, Al- Qur'an, Sirah, Nahu, Soraf, Tauhid, Feqah, Adab Nusus, dan banyak lagi. Teknik yang utama untuk subjek-subjek ini ialah menggunakan teknik faham dan hafal. Bunyi macam banyak tapi semua subjek-subjek ini memang sangat seronok untuk dipelajari. Alhamdulillah. Sungguh, kadang-kadang hati saya terasa rindu dengan zaman-zaman hafal menghafal.

Hari ini adik saya ke sekolah menerima keputusan SMU. SMU atau Sijil Menengah Ugama adalah wajib diduduki oleh pelajar Tingkatan 4 di setiap sekolah agama rakyat di Kelantan. Alhamdulillah, dia mendapat JAYYID JIDDAN. Walaupun bukanlah yang paling cemerlang tapi saya bersyukur sekurang-kurangnya saya melihat usaha dan semangat dia menghafal setiap pelajaran. Yang paling cemerlang ialah Mumtaz. Agak kecewa katanya tapi saya katakan, mungkin setakat itu usaha kita, nanti boleh usaha lagi untuk SPM tahun depan.


Keputusan adalah sesuatu yang ditunggu-tunggu. Tapi kalau mendapat apa yang tidak diharapkan jangan cepat mengalah kerana setiap yang terjadi ada terselit 1001 hikmah yang tidak kita sedar.
Tahniah buat adikku walaupun tidaklah mendapat keputusan yang paling cemerlang, sekurang-kurangnya, usahamu tidak sia-sia. I am proud of you.

Kata adik saya, kawan-kawan yang lain jauh lagi hebat, Mumtaz semuanya... Tapi dia hanya mendapat dua Mumtaz saja. 
Sebab itulah kena usaha awal-awal dik kalau mahukan kejayaan.

Sijil atas ini saya punya. Hehe. Walaupun tidak cemerlang sangat tapi saya memang jenis redha saja berapa yang saya dapat sebab saya tahu usaha saya setakat mana.
So, buat adik-adik di luar sana jangan sedih ya, usaha lagi. Mungkin tak semudah bagai dikata tapi ingat, ilmu bukan di sijil semata tapi harus dicerna dalam jiwa dan diamal setiap masa.

Gambar ini sekadar perkongsian bukan niat mahu menunjuk-nunjuk sebab keputusan kami dua beradik memang tak cemerlang pun. Hehe.
Sekadar terimbau kenangan lama.
Rindu zaman berdiri atas kerusi sebab tak ingat bila ustazah soal.

Sebenarnya, menarik juga cerita kami di sekolah agama rakyat. Saya tahu ramai yang tidak jelas tentang kedudukan sekolah agama di Kelantan. Ramai menyangka kami belajar seperti sekolah Maahad biasa dan berita suka menggemburkan tentang rosaknya akhlak pelajar sekolah agama. Dan suka meletakkan nama 'pelajar sekolah agama' ditangkap khalwat sebagai satu bahan sensasi mereka.
Kelak saya akan kongsikan cerita lagi Insya'Allah.



Tuesday, 29 December 2015

2016 is coming...

TEKS : Faizah Yusoff
FOTO : Carian Google

Alhamdulillah.
Alhamdulillah.
Alhamdulillah.
Masih diberi kesempatan dan peluang untuk menghirup udara dan melihat alam ciptaan Tuhan Yang Satu.

Bagaimana dengan perancangan tahun baru kalian? 
Sudah mula menyiapkan senarai pencapaian terbaik 2015 dalam hidup kalian atau sudah menyiapkan senarai apa yang harus dicapai di tahun akan datang?


Hometuition saya sudah mula diterima di kampung saya. Saya harap legasi kecil ini terus bersambung dan tersebar dalam usaha membantu pelajar-pelajar di kampung celik akan kepentingan ilmu.
Bukanlah mengatakan pelajar di kampung itu tergolong dalam golongan pelajar lemah. Bahkan kadang-kadang mereka pula lebih bijak dan hebat.
Maksud saya, kadang-kadang mereka tidak berjumpa orang yang boleh menunjukkan jalan. Rata-rata pelajar yang saya terima setakat hujung tahun 2015 ini, mereka mengatakan tidak sempat mengejar apabila guru mengajar di kelas. Pergi ke pusat tuisyen, rakan-rakan yang lain sudah jelas dahn faham tapi mereka masih terkial-kial mencari jawapan.
Marilah kita menjadi sebahagian daripada penyumbang kejayaan anak pelajar ini.

Mulai tahun depan, saya akan mula membuat kertas soalan khas hanya untuk mereka yang belajar bersama saya, Insya'Allah. 
Niat saya cuma satu, apa yang tidak jelas di sekolah atau pusat tuisyen saya akan bantu sehingga mereka faham. 
Semoga semua pelajar hebat ini berjaya di dunia dan akhirat.
Entri kali ini sekadar untuk membangunkan semangat yang suka tertidur.
Bittaufiq wannajah.

Sunday, 13 December 2015

DISEMBER.

TEKS : Faizah Yusoff

Disember datang lagi. Sudah hampir ke pertengahan Disember rupanya. Tentang kelas hometuition saya, alhamdulillah masih berjalan seperti biasa. Malah saya telah menerima seorang pelajar baru lagi. Alhamdulillah alhamdulillah alhamdulillah. Bagaimana dengan kelas sahabat semua?

Kalau anda seorang surirumah, dan sekarang sedang balik bercuti, boleh sahaja tangguhkan kelas sementara mahu pulang ke desa halaman. Hanya memerlukan persetujuan daripada ibubapa pelajar sahaja. Itulah majikan sementara kita. Majikan yang biasanya mudah untuk dibawa berbincang dan sangat mudah untuk mendapat cuti. Bestkan kerja macam ni?
Kawan-kawan saya yang kerja ikut masa pejabat selalu kata, "nampaknya aku pun nak kerja macam kau lah".
Saya katakan pada mereka, "kalau tak cukup tabah sila mulakan kerja ini sebagai separuh masa sahaja. Bukan mahu menurunkan persen semangat mereka, sekadar nasihat untuk permulaan baiklah jangan cepat buat keputusan untuk berhenti kerja. Setiap kerja ada cabarannya tersendiri.

Sekarang saya memang cuba mengaktifkan diri mengajar di rumah sahaja. Bulan hadapan mungkin saya akan mengajar semula pelajar lama saya yang bercuti untuk bulan ini. Jadual yang mudah disusun. Pendapatan lumayan hanya dengan sedikit perkongsian ilmu bersama pelajar.

Sedikit nasihat saya, hati kena ikhlas kalau mahu lama berkhidmat dalam tugasan penuh cabaran ini. Masa jangan kedekut kerana ia juga sebahagian daripada sedekah. Semoga bermanfaat.



Thursday, 10 December 2015

MENYESALKAH MENJADI TUTOR?

TEKS : Faizah Yusoff

Waktu lapang terasa sangat terhad beberapa hari ini. Buka blog tak sempat menaip menulis entri dah kena keluar pergi situ sini. Almaklumlah 'orang penting' kat rumah ni. Insya'allah saya akan terus gigihkan hati berkongsi pandangan dan pengalaman menjadi hometutor selama ini. Walaupun tak seberapa tapi mungkin ada cikgu tuisyen di luar sana yang berhadapan dengan situasi yang sama dan akhirnya sampai terasa 'tersalah' memilih kerjaya sebagai cikgu tuisyen ini. **Harap tak adalah sampai menyesal.

Baiklah, saya pernah mengalami situasi di mana terasa ''hai lah menyesal pulak aku terima kelas ni, dah lah pelajar ni susah nak handle, mak pulak suka ikut kepala sendiri, asal pergi kelas kat rumah dia ja, rasa tension, asal pegi je rasa nak tension!''
Ini monolog dalaman orang kerja mengajar tuisyen yang paling lama dua jam.

''Hai lah, hujan lah pulak pagi ni, kenapa la bos ni tak pegi outstation ja hari ni? Bolehlah aku ambil cuti demam kura-kura hari ni, malasnya nak bangkit dari tidur..."
Ni pula monolog dalaman orang kerja 8 jam sehari 5 atau 6 hari seminggu.

Agak-agak apa yang kita rasa??? Masih menyesal ke memilih jalan ini sebagai hala tuju kita?
Kesimpulannya, setiap jalan yang kita pilih punyai liku yang berbeza. Setiap orang punyai pandangan masing-masing tentang pilihan dalam hidup.

Sebenarnya, saya bukanlah mahu menyeru semua orang supaya mengajar tuisyen apatah lagi meletakkan menjadi 'hometutor' adalah kerja rangking paling mulia, sememangnya bukan itu yang nak saya sampaikan. Saya cuma mahu meletakkan tugas sebagai tutor ni bukanlah kerja remeh yang semua orang boleh dan mampu buat. Maka berbanggalah menjadi sebahagian daripada pendakwah kecil di bumi Tuhan, mengajar secebis ilmu dan memperbetul secubit akhlak si pelajar yang kini kebanyakan kian merosot.

Kenapa? Kenapa mesti selalu ingatkan hati bahawa tugas ini adalah bukan tugas sembarangan? Kerana saya sedar pandangan masyarakat kita terutamanya jika kita tinggal di kampung, yang selalu menganggap :
''Anak aku tak kerja pun, mengajar tuisyen saja''... Dan ayat ini boleh menjadi satu 'DURI' atau 'PEMBAKAR SEMANGAT'.

Semoga entri kali ini membuat kita semua termasuk saya merenung sejenak dan yakin dengan rezeki yang Allah tetapkan untuk kita.

Saturday, 28 November 2015

DEFINISI KEJAYAAN

TEKS : Faizah Yusoff
FOTO : Faizah Yusoff

Sudah tentu inilah definisi kejayaan yang kerapkali kebanyakan orang akan fikirkan. Dan ya, termasuk kita juga sebenarnya sama ada kita sedar atau tak sedar.

"Anak aku dapat 8A PMR, anak kau dapat berapa?"
"Aku tak pandai sekolah macam kau, aku dapat 1A je UPSR, tak hebat macam kau, dapat 5A"
"Lepas ni kerja Kolumpu la anak makcik, sebab dah habis universiti"
"Leman sekarang jadi petani jer, tak macam anak kau Syarif kerja bank"

Dialog yang selalu kita dengar dan memang kita akan sentiasa jumpa. Dan mungkin kita pun pernah berkata begini.
Buat yang bergelar pelajar pula, selalu rungsing bila berhadapan dengan pepriksaan atau ujian. Selepas ujian mesti terpaksa berhadapan dengan keputusan pula. Bahkan menjadi satu tekanan bila ibu bapa dan orang sekeliling memang mengharapkan kejayaan serangkai A yang tersusun cantik di atas kertas keputusan peperiksaan.
Memang tak dapat dinafikan, masyarakat kita lebih gemar menyukat A untuk menunjukkan sebuah definisi kejayaan sebenar.
Sama-sama kita fikirkan apakah sebenarnya erti sebuah kejayaan. Buat ibubapa anda perlu timbang kembali apakah kelebihan dan kemampuan seorang anak. Sama-sama kita fikirkan.

Wednesday, 25 November 2015

TIPS BERHADAPAN DENGAN PELAJAR

TEKS : Faizah Yusoff

Kali ini saya ingin berkongsi tips macam mana mahu berlembut tetapi tegas dengan pelajar. Memang sukar mahu menjadi orang yang pelajar percaya dan hormat dalam masa yang sama mereka boleh menjadikan kita sebagai 'kawan'. Inilah disebut sebagai membina 'rapport'.
Saya akan ceritakan serba sedikit cara atau tips tetapi bukan dalam bentuk senarai. **Sebab nanti takboleh cerita panjang**

Kelas pertama sekali yang paling penting. Biar pelajar kenal anda sebagai cikgu yang lembut dan baik tetapi jangan sampai 'pijak kepala' maksud saya baik sangat. Mengikut pengalaman saya dan rakan-rakan hometutor yang lain, biasanya kelas pertama pelajar akan menjadi agak pasif dan mendengar kata. Sekiranya anda mendapat pelajar yang memang 'hyperaktif' jangan sesekali benarkan mereka menyentuh barang-barang anda!
Pernah terjadi, seorang rakan saya yang memang jenis sopan dan lemah lembut, pergi mengajar dan mendapat pelajar yang agak aktif. Pelajar tersebut membuka beg dan kotak pensil rakan saya.
Bagaimana mahu berhadapan situasi begini? Ambil kembali barang-barang anda dan beritahu pelajar dengan baik supaya mereka tahu apa yang sepatutnya dan tak sepatutnya mereka boleh dan takboleh buat.
katakan pada mereka : ''Amir, Amir suka tak kalau orang datang rumah Amir lepas tu masuk bilik Amir main mainan Amir tanpa kebenaran Amir?'' Dan seterusnya, jelaskanlah apa yang sepatutnya supaya dia tahu.
Kita bertegas tetapi dalam istilah yang mereka boleh faham.

Setiap kali anda tegur pelajar membuat salah, pastikan ada sesi 'slow talk' selepas itu. Supaya pelajar tersebut faham kenapa anda menegur kesilapannya. Jangan diamkan diri atau buat-buat merajuk pula ya. Konsep 'guru merajuk' sebenarnya sangat tidak boleh diguna pakai. Ia seakan menunjukkan cikgu dan pelajar seperti tiada beza. Sila bersabar. Be professional!

Pelajar yang manja. Ada sesetengah pelajar memang mempunyai isu 'sikap manja' dan sukar menerima kehadiran 'orang luar'. Dia lebih gemar mendiamkan diri atau keluar menangis di bilik air daripada bercakap dengan guru tuisyennya. Sebagai tutor, kaedah memancing minat pelajar sangat penting. Katakan pelajar anda memang jenis yang sukar bercerita tentang sekolah atau kawan-kawan di sekolah bila anda tanya. Cuba ambil kertas kosong dan lukis gambar anda dengan rakan-rakan anda atau ahli keluarga anda. Buat seakan-seakan lukisan yang comel, orang lidi versi comel mungkin? Kerana, kebanyakan pelajar (bawah 11 tahun) memang gemarkan aktiviti melukis atau mewarna ini.

Selain itu boleh juga gunakan teknik 'reward', ''kalau Aiman buat soalan ni dengan baik, cikgu bagi hadiah''
Tapi harus diingat, hadiah yang bakal anda beli tak semestinya mahal tetapi bersifat comel atau menarik sudah cukup.

Cukup dulu ya cerita ini hari. Semoga bermanfaat.

Monday, 23 November 2015

SEMALAM...

TEKS : Faizah Yusoff

Saya turun dari rumah untuk ke kelas jam 10 pagi semalam. Kelas pelajar SPM saya. Agak lewat saya sampai, jalan agak sesak mungkin sebab hujan, ramai oerang guna kereta untuk ke destinasi. Termasuk saya. Musim tengkujuh telah tiba. Ya, pada musim inilah saya telah terlahir ke dunia ini. Kadang-kadang terfikir di minda, sudah lebih 20 tahun saya hidup, mengecapi keindahan dunia yang fana, tapi apa saya buat untuk bangsa dan agama saya?
Bila mengingatkan ini, hati selalu terasa syahdu... Cepat sungguh masa, sedangkan saya sendiri lupa sampai di usia berapakah janji saya pada Sang Pencipta.

Semalam selepas selesai kelas, saya ke rumah sahabat baik saya. Kami bercadang mahu melawat ayah seorang rakan yang sedang terlantar di hospital. Tapi terpaksa membatalkan hasrat sebab masa yang terbatas. Ya lah, masa melawat di hospital sudah berlalu. Kami pun terus ke rumah seorang sahabat lama yang baru mendapat cahaya mata. Alhamdulillah. rezeki sahabat saya, punyai anak di usia kami. Sedangkan kami berdua (saya dan sahabat baik) masih belum berkahwin. Tak mengapa, mungkin Allah bagi peluang lebih kepada kami untuk berkhidmat kepada mak dan ayah kami.

Akhir-akhir ini terasa mudahnya tersentuh hati. Bila orang bertanyakan kerja, orang bercerita tentang gaji bulan-bulan. Saya rasa sangat berjauh hati. Tapi dalam masa yang sama saya terus bertekad mahu buktikan pada mereka pandangan mereka salah. Sama sekali salah. Selagi kita tak putus asa dari berusaha selagi itulah kita akan mendapat bahagian kita. Insya'Allah.

Sekadar luahan ubat penenang jiwa yang kadang-kadang sangat rapuh.

Saturday, 21 November 2015

MENGAJAR GUNA TEKNIK NABI

TEKS : Faizah Yusoff
FOTO : Carian Google

Hadis Qudsi:
" Aku bertindak menurut sangkaan hambaKu kepadaKu.
Aku bersamanya apabila dia mengingatiKu.
Jika mereka mengingatiKu dalam dirinya, nescaya Aku menyebutnya
dalam diriKu. Apabila mereka menyebut namaKu dalam kumpulan 
nescaya Aku menyebutnya dalam kumpulan yang lebih baik daripada mereka...."
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Menurut kumpulan Psikologi Hadis, terdapat 3 kaedah atau teknik cara mendidik mengikut teknik Nabi S.A.W,
1. Pilih 1 tindakan
2. Puji tindakan
3. Sebut impak atau kesannya

Ringkasnya, pilih satu kebaikan pelajar, puji tindakannya dan ceritakan kesan apakah yang akan diperoleh.
Mudah kan?
Tips ini tak semestinya digunakan untuk mendidik pelajar, ibubapa juga boleh menggunakan kaedah kembar tiga ini. 
Begitu juga sekiranya anak atau pelajar melakukan kesilapan. Guru boleh menegur tetapi mesti 'slow-talk' semula kenapa cikgu marah atau menegur kesalahan pelajar tadi dan apa kesannya sekiranya dia terus membuat 'kesalahan' tersebut.

Sebenarnya, kita sering menggunakan kaedah ini dalam menegur setiap perbuatan anak-anak, pelajar, anak saudara, adik atau sepupu sepapat yang lebih kecil berbanding kita tanda kita sedar sebenarnya inilah kaedah Nabi S.A.W.
Tahniah kalau memang sudah mengamalkannya!



Selain itu, kita sebagai tenaga pengajar mestilah sentiasa berhati-hati dengan perkataan yang kita sebutkan atau gunakan semasa bersama pelajar.

Sila elakkan penggunaan perkataan seperti,
1. TAK BOLEH
2. JANGAN
3.TAKNAK!!!

Tetapi gunakan kaedah kacap telabik. ''Cakap Terbalik''
Contohnya : Hanim, awak tak boleh buat macam ni. Salah awak kira macam ni.
Kacap Telabiknya ialah : Hanim dah pandai kira lah, tapi cikgu rasa baik Hanim guna cara macam ni sekian sekian. Sebab kalau Hanim buat macam ni, cikgu takut tersalah kira kat sini sekian-sekian.

Secara psikologinya, manusia memang tak suka dikatakan padanya perkataan JANGAN!
Selamat mencuba. Semoga bermanfaat.

Friday, 20 November 2015

KELEBIHAN MENJADI HOMETUTOR?

TEKS : Faizah Yusoff
FOTO : Carian Google

Di akhir-akhir tahun ini, semangat bercuti sudah mula berkobar-kobar di hati. Kadang-kadang macam terlupa pula bahawa kita ni kerja sebagai tutor, hari-hari pun cuti sebenarnya. Ya lah orang lain kerja 8 jam berumah di pejabat, kita selamba saja kerja 2 jam sambil singgah Mydin beli barang dapur. Nikmat kerja sendiri yang tak dapat diucapkan dengan kata-kata. Alhamdulillah.


Saya sebenarnya memang terlahir dalam keluarga cigu cikgi. Mula dengan nenek saya sebagai cikgu mengaji al-qur'an, ayah saya pun cikgu fardhu ain, kakak abang bapa saudara, pendek kata memang ramai sepupu sepapat dalam keluarga terdekat saya terdiri dari pada cikgu. Sebab itulah saya sedikit sebanyak terbias dengan bayangan mereka. Asal jumpa saya, mesti orang tanya mak saya ''yang ini mengajar kat mana?''
Sabar sajalah hati. Boleh jawab dalam hati : Saya mengajar sendiri-sendiri.

Terasa mahu bercerita tentang istimewanya memilih kerjaya sebagai hometutor sebenarnya.

  • Industri ini terus membangun dan pasaran akan terus berkembang dari hari ke hari. Maka permintaan pun sentiasa ada daripada ibu bapa dan pelajar.
  • Boleh membantu para pelajar mengalami peningkatan yang agak 'ketara' dalam subjek yang 'ketara' lemah.
  • Dapat membantu mewujudkan suasana mengenal al-Quran dan Fardhu Ain dalam kalangan pelajar (tua atau muda)
  • Bebas menjadi majikan dan menetapkan jadual anda sendiri.
  • Sememangnya mempunyai banyak masa bersama keluarga dan rakan-rakan.
  • Bebas menikmati faedah pekerjaan yang menyeronokkan. Faedah masa bekerja sekejap cuma.
  • Menjana satu lagi pendapatan yang sangat mudah dan dengan modal yang kecil, cuma beli buku rujukan.
  • Boleh dilakukan secara sepenuh masa atau separuh masa.
  • Kurang tekanan berbanding kerja makan gaji.
  • Pendapatan bulanan yang tinggi berbanding masa yang diperuntukkan. 
Jadi kenapa tidak kita memulakan langkah sebagai cikgu tuisyen atau hometutor ini? Semoga berjaya. 

Thursday, 19 November 2015

KEPUTUSAN PEPERIKSAAN vs AKHIR TAHUN

TEKS : Faizah Yusoff
FOTO : Faizah Yusoff
Alhamdulillah.
Alhamdulillah.
Alhamdulillah.
Itu sahaja yang terucap bila mendapat pesanan whatsapp daripada pelajar saya yang mendapat 5A dalam UPSR 2015. Saya mengajar subjek Matematik dan Bahasa Melayu selama dua tahun di rumahnya. Sekarang saya mengajar si adik pula yang bakal menduduki UPSR tahun hadapan.

Alhamdulillah.

Walaupun bukanlah usaha saya sepenuhnya mengajar pelajar ini, tapi saya sangat berbangga menjadi sebahagian daripada perjalanannya mendapat kejayaan ini.
Tahniah.

Pelajar saya yang Tahun 5 juga sudah mendapat keputusannya. Si ibu menghantar pesanan di whatsapp mengucapkan terima kasih. Saya mengajar pelajar ini bermula November 2014 sehingga sekarang. Alhamdulilllah, kata ibunya ada peningkatan. Sebabnya, sebelum ini memang langsung taknak belajar di rumah tapi dengan kehadiran 'cikgu' ke rumah dia lebih bersemangat.
Akhirnya keputusannya pun menunjukkan skala menaik juga. Alhamdulillah.


Setiap kali akhir tahun, inilah yang bakal kita hadapi sebagai seorang 'guru separuh masa'. Walaupun kita tidak mengajar setiap hari, tetapi kita juga adalah sebahagian daripada penyumbang terhadap kejayaan pelajar yang menyuntik semangat mereka untuk lebih berusaha dan rajin belajar. Berbanggalah dengan usaha itu. Semoga entri kali ini mampu membakar semangat kalian untuk terus mengajar.


Wednesday, 18 November 2015

CIKGU SAYANG PELAJAR CIKGU.

TEKS : Faizah Yusoff
FOTO : Faizah Yusoff

Petang ni terasa nak kongsikan gambar pelajar-pelajar sayalah. Bagi naik sikit semangat kita yang kadang-kadang kian menjunam. Bukan apa masalah semangat menjunam ni, cuma mainan perasaan. Kadang-kadang, bila jumpa kawan lama yang sekarang tengah menjadi doktor ke cikgu terasa lah kerdilnya diri. Tapi bila kawan cerita, kerja penat nak balik cuti susah, maka bolehlah senyum lebar sedikit sebab itu kelebihan pada kita yang bekerja sendiri. Alhamdulillah a'la kulli hal...







Gambar-gambar ini saya sempat ambil semasa mereka sedang syok menulis. Saya tak syorkan anda main tekan-tekan fon semasa mengajar ya, untuk sekadar ambil gambar buat kenangan dan simpanan tu tak mengapa. Jangan pula syok selamba main whatsapp semasa sesi pembelajaran berlangsung. Cari keberkatan dalam setiap pekerjaan ya kawan-kawan.
Ini sebahagian daripada pelajar saya yang pernah saya ajar dan sebenarnya masih lagi saya ajar. Oh ya gambar pelajar sekolah menengah pula saya tak ambil gambar curi, nanti semua pakat 'selfie, wefie' pula. 
Semoga terus istiqamah dalam perjalanan dakwah singkat ini.
Semoga bermanfaat.

Monday, 16 November 2015

FORMULA MATEMATIK.

TEKS : Faizah Yusoff
FOTO : Facebook

Hari ini pelajar SPM menduduki peperiksaan Matematik. Buat yang bakal menduduki SPM tahun depan (termasuk adik saya) bolehlah mulai jenguk-jenguk buku balik ya. Di bawah ini antara cara-cara memancing minat dan rasa nak belajar Matematik dengan cara yang tidak membosankan. Sebenarnya, matematik bukanlah subjek yang membosankan cuma pelajar kerap lupa formula yang menyebabkan mereka cepat putus asa. Buat yang ada akaun Facebook jom jenguk-jenguk formula di page Formula Hikmat daripada Kipas Hikmat Yang imej warna warni kat bawah sana tu pula daripada page KapurPuteh 
Nanti boleh lah tengok-tengok ya yang mana memudahkan pelajar anda faham cepat atau menarik untuk dikongsi bersama pelajar anda.













Semoga bermanfaat! =)

PENERANGAN TENTANG POSITIF & NEGATIF

TEKS : Faizah Yusoff

Apa itu negatif positif? cikgu kat sekolah kata negatif positif ni adalah caj..ada caj positif ada caj negatif. Contohnya cuba awak tengok kat bateri remote tv ke jam ke..kan ade tulis -ve dan +ve tu. Okey, faham...cuma kurang jelas. Ni penerangan masa sekolah rendah zaman 90-an kot.

Kita pon bawak la fahaman ni sampai ke dah besar remaja. Dan masuk kelas cikgu Matematik Tingkatan 1, oke jumpa lagi...-.....+...... Okey, mind set kita is battery. Tetapi apa pasal plak tajuknya Integer? Grrrr Cikgu tipu! Ini tidak adil! Cikgu pun cakap," integer ini merupakan susunan nombor.blablabla  Tapi jangan risau, awak semua takpayah pening kepala... Hafal ja formula ni" :::

positif x positif = positif
negatif x negatif = positif
positif x negatif = negatif
negatif x positif = negatif

OK.DONE...jangan tanya saya lagi, sila buat latihan. Kelas dismiss.

Oh no!!! When I grew up, I found something more more more answerable than all that fishy answer... Sesungguhnya saya rasa bijaknya orang yang mencipta filosofi matematik ini. Dan Maha Bijaksana Tuhan yang menciptakan makhluk sebijak ini.

Andaikan - bermaksud SALAH
                + bermaksud BENAR
  
1. Mengakui BENAR terhadap sesuatu yang BENAR adalah BENAR.
2. Mengatakan SALAH terhadap sesuatu yang SALAH adalah BENAR.
3. Menganggap BENAR akan sesuatu yang SALAH semestinya SALAH.
4. Merasakan SALAH akan sesuatu yang BENAR semestinya tindakan yang SALAH.

Benarkan, mana boleh kita menagkui sesuatu yang salah sebagai benar. Dan tak mungkin kita akan menafikan sesuatu yang terang-terangan benar, bahkan kalau kita nafikan pun, mesti kita akan mengakui juga kebenarannya satu hari kelak.
Sungguh, terpana sekejap betapa tinggi nilainya sebuah ilmu. Sesungguhnya darjat mereka yang berilmu adalah tinggi di sisi Allah. Semoga perkongsian ini boleh membuka minda kita bersama. Selamat berfikir!

Saturday, 14 November 2015

IDEA PENGURUSAN HOMETUITION

TEKS : Faizah Yusoff

Bagaimana mahu bantu orang lain dengan tuisyen? Sebelum ini saya juga seperti orang lain, fikir apa yang ada di depan mata saja. Pendek kata, saya nampak rezeki tu ialah dapat duit semata. Cetek sungguh rasanya minda bila ingat balik. Padahal nikmat kesihatan nikmat makan minum jua adalah termasuk dalam rezeki.

Kalau ada entri sebelum ini saya bercerita tentang pusat tuisyen, entri kali ini pula saya ingin berkongsi tentang bermula sebagai sebuah syarikat  'hometuition' pula.

Baiklah sebenarnya berdaftar sebagai sebuah pusat tuisyen lebih rumit berbanding menjalankan khidmat hometuition. Tetapi kedua-duanya tetap memerlukan komitmen yang berterusan ya.

Saya pernah terfikir sampai bila saya akan terus mengajar begini? 10 tahun lagi kah atau hanya 5 tahun lagi? Maka perancangan seterusnya ialah dengan mengupah tutor baru dengan melatih mereka bagaimana berdepan dengan pelajar disamping membantu orang lain bekerja secara separuh masa bagi menjana pendapatan pasif.

Pertama sekali, bentukkan diri sendiri sebagai seorang pengurus yang sebenarnya layak. Bagaimana?
1. Mudah mesra dengan orang yang baru dikenali.
2. Mudah bergerak ( mempunyai kenderaan).
3. Mempunyai akses internet sebagai jaringan promosi.
4. Tegas tetapi sopan dan meyakinkan.
5. Fleksibel dan memang serius dalam bidang ini.
6. Seeloknya boleh mengajar sekali bukan bertindak sebagai pengurus semata- mata.

Paling penting, kita harus sedar tentang konsep `part-time' . Orang bekerja separuh masa untuk menambah wang poket mereka. Maka kalau mahu legasi tuisyen anda berterusan,  sudut kewangan adalah paling utama. Sebagai pihak pengurusan, uruskan aliran tunai anda sebaiknya. Seeloknya minta bayaran sebelum sesi bermula supaya tutor tahu komitmen yang harus mereka beri.

Selain itu, sekiranya anda mampu mengajar dengan hebat, lahirkan juga tutor hebat. Pendek kata, kalau mahu kaya, perlulah kayakan orang lain. Seorang sahabat pernah berkata kepada saya, tak mengapa sekarang kita dipandang sebelah mata, asalkan kita tahu hala tuju kita.

Jangan abaikan setiap klien yang anda peroleh kerana ia adalah salah satu promosi berterusan. Kalau anda pernah terlintas untuk menjadi pengurus hometuition, promosi perlu dilakukan setiap hari. Pastikan ada perkongsian dari anda setiap hari. Semoga kita semua mampu menjadi orang hebat. Semoga entri kali ini mampu membuka idea baru kepada sahabat yang sedang mencari idea berkenaan hometuition. Semoga bermanfaat.

Friday, 13 November 2015

MASA.

TEKS : Faizah Yusoff
FOTO : Carian Google



Sebab utama saya terlibat dengan hometuition ialah masa. Komitmen masa yang sebentar cuma untuk satu sesi pembelajaran. Tapi perkara yang masih dalam penambahbaikan dalam diri saya ialah ketepatan masa. Saya sering ke kelas lewat 5-10 minit. Saya pun tak tahu kenapa saya mesti akan 'drag' sedikit masa untuk sampai ke rumah pelajar walaupun memang laju je saya bersiap-siap. Saya akan cuba sebaik mungkin untuk menjadi lebih baik. Insya'Allah.

Sesiapa yang mengajar hometuition pasti akan meletakkan 'kelebihan' masa yang singkat berbanding bayaran yang diperoleh sebagai satu perkara utama yanag akan diambil kira.
Siapa tak suka kerja 2 jam dah boleh dapat pendapatan bersih bermula RM 35 ke atas. Orang lain kerja 
RM3 500 kalau dibahagi dengan 30 hari sebulan dapatlah sehari RM 117 lebih kurang, kerja sehari 8 jam. Kadang-kadang lebih juga 8 jam. Dalam RM 15 sahaja sejam. 
**Betulkan saya kalau saya salah kira.


Masa memang sangat berharga terutamanya hari ini. Masa nak bersama keluarga, masa nak bercuti, masa nak jenguk mak ayah di kampung. Semuanya sangat terhad. Bila kerja di ofis, best sebab gaji tiap bulan masuk. Alhamdulillah. Tapi masa pula terhad. Bila anak demam, kena mintak cuti, kalau bos baik, senanglah kerja, kalau dapat bos 'terbaik' memang nahaslah kena maki dulu sebelum dapat kelulusan. Nama pun berkerja di bawah seliaan orang. Sebab itu saya suka berkerja sendiri. Syukur alhamdulillah rezeki kelas tak pernah putus. Dan saya boleh susun jadual saya sebaiknya. Saya boleh uruskan masa saya sekiranya ada sebarang kecemasan atau apa sahaja yang lebih penting. 
Kata ayah saya, pentingkan yang penting. 
Terima kasih ayah kerana selalu menyokong saya. Terima kasih mak sebab selalu tahan dengan pandangan orang kampung terhadap saya yang 'tidak berkerjaya' ini.

Sekarang, pilihan terletak pada kita. Mahukan nikmat kebebasan masa atau mahu sentiasa mengejar masa. Masa bujang memanglah tiada masalah berumah di pejabat, bila sudah berkeluarga, anak membesar dengan orang lain. Bermula kerjaya saya sebagai hometutor, saya semakin mahu berada di rumah. Sungguh takut melihat akhlak anak muda sekarang. Ya sekarang saya pun masih 'anak muda' tapi, di sini maksud saya akhlak para pelajar. Tak heran kalau mereka boleh tanya '' Cikgu ada motor je?''. Jangan terkejut kalau mereka kata '' Cikgu nak berapa, daddy saya boleh bayar lah, tak payah la buat kelas hari ni''. 
Semoga dakwah kecil saya bersama sahabat-sahabat tutor sekalian kan dipermudahkan. 
Selamat mengajar buat mereka yang baru tahu apa itu hometutor!
Semoga bermanfaat.

Thursday, 12 November 2015

MASA DAN ROTAN.

TEKS : Faizah Yusoff
FOTO : Carian Google


Masa. Kalau zaman kita belajar dulu, rotan adalah sesuatu yang sangat menakutkan. Minda masyarakat pada masa itu memandang rotan sebagai satu alat mendidik yang sangat berkesan. Biasanya rotan dan guru kelas mengaji memang tak dapat dipisahkan. Sungguh rindu akan zaman itu

Dulu, saya belajar mengaji dengan arwah nenek (ibu kepada ayah saya). Saya anak bongsu perempuan, kiranya kakak-kakak dan abang-abang pada masa tu semuanya sudah besar remaja. Jadi saya memang tiada pengalaman belajar mengaji bersama kakak atau abang. Saya cuma bersama sepupu-sepapat yang sebaya belajar mengaji di rumah nenek yang saya panggil 'mok'. Mok suka guna rotan panjang buat tunjuk-tunjuk ayat yang kena kami baca. Kalau gatal belakang, dia suka jolok dengan hujung rotan. Sungguh kelakar kalau diingatkan. Kalau mengaji perlahan, memang nahas lah, mok tebas rotan atas lantai rumah papan dia, memang kecut perut kami. Dan pasti kami baca dengan kuat dan betul. (Mungkin syaitan malas pun lari takutkan rotan kot).

Sekarang, rotan hanya dibuat hiasan dinding. Cuba lihat berapa buah rumah yang ibu bapa masih menggunakan rotan sebagai alat mendidik anak-anak. Malah ada yang menggunakan rotan tapi anak-anak hanya memperlekeh tanpa menunjukkan rasa takut pun. Kenapa? 
Sedikit pengalaman yang boleh saya ceritakan di sini. Saya pernah mengajar sebuah keluarga yang sangat tegas dan garang. Kiranya, pantang silap sedikit, memang rotanlah jawabnya. Kadang-kadang, di depan saya pun ibu bapa berkenaan merotan anak mereka jika ada membuat kesalahan. 
Sampaikan anak mereka melihat rotan seakan melihat harimau. Menunduk tanpa mengangkat wajah. Jauh di sudut hati, saya memang kasihankan mereka tapi saya juga suka jika ibu bapa gunakan rotan sebagai alat mendidik tapi bukan sebagai alat mendera, sekadar untuk menakut-nakutkan.

Masa dan zaman terus berubah. 

**Perkongsian ini sekadar menegaskan tak salah nak mendidik menggunakan cara lama, tapi biarlah seiring dengan doa dan usaha yang lain. Anak ibarat kain putih, orang tua lah yang akan mencorakkan mereka. Semoga bermanfaat.




Wednesday, 11 November 2015

PELAJAR MERAGAM?

TEKS : Faizah Yusoff
FOTO : Carian Google

Isu yang sering tutor hadapi bagi yang mengajar 'si kecil' ialah meragam. Biasanya pelajar yang berumur 10 atau 11 tahun ke atas tiada masalah meragam ini. Tapi yang bawah umur memang akan ada dalam sebulan dia mula buat hal. Terutamanya pada awal kelas, sebelum mood belajar datang. Satu lagi bila baru lepas peperiksaan, tapi kelas tuisyen masih diteruskan.


Bagaimana mahu menangani isu ini? Jangan risau, di sini saya akan berkongsi teknik yang boleh digunakan oleh tutor baru atau lama atau ibu bapa yang baru berjinak-jinak nak mula mengajar anak-anak sendiri atau sesuai juga buat mereka yang bakal berkahwin sebagai tips awal mengenal kerenah anak. Wah.

Pertama, kena ada 'gula-gula magik' yang boleh menarik minat 'si dia'. Yang dimaksudkan dengan 'gula-gula ' di sini ialah kita kena kenal minat pelajar. Contohnya dia minat melukis, maka mulakan kelas dengan sesi lukisan. Pastikan lukisan yang berkaitan dengan pelajaran hari tersebut. Macam mana tu? Baiklah, mengikut pengalaman, biasanya pelajar bawah 10 dan 11 tahun ini, ibu bapa mahukan tuisyen Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris atau Matematik. Untuk B.I, apa kata anda mulakan dengan melukis haiwan atau benda-benda di sekeliling pelajar dan tulis apa perkataan B.I bagi benda atau haiwan tersebut atau bagi yang sudah mengenal, bolehlah membina ayat lengkap pula.
Tipsnya, sila kenal minat pelajar anda.

Kedua, pancing minat 'si dia'. Kadang-kadang bila kita sampai ke rumah pelajar, mereka tengah 'naik minyak' atau marahkan si abang atau adik atau kakak atau baru lepas kena marah dengan ibu bapa. Semestinya, mood belajar sudah punah. Maka, bila dipaksa belajar lagi, dia mula panjangkan muncung. Tegur dengan lembut dan tanya masalah sebenarnya. Terangkan salahnya kenapa ayah marah. Terangkan sikapnya bergaduh dengan adik, adik masih kecil abang kan dan besar. Jangan pula kita jadi si batu api! Ingat!
Bila dia dah buka mulut, Insya'Allah mudah saja untuk diajak buat kerja rumah nanti. Anak-anak memang tiada dendam.

Ketiga, ada seni pujuk memujuk. Sesampai di rumah pelajar, pelajar pun berkata ''Alah, cikgu ni kenapa dah datang, cerita Boboiboy baru nak mula. Saya nak tengok cerita! Taknak belajar!'' Sudah tentu dia akan dipaksa ke meja belajar. Maka, naiklah muncung sedepa. Katakan padanya, belajar sekejap saja. Hari ini, cikgu nak ajar benda 'best'. Sebut apa yang dia suka. Baiklah, kalau awak buat soalan satu sampai lima, cikgu bagi tengok cerita 5 minit. Tapi, kaedah ini adalah kaedah terakhir yang saya boleh berikan bila pelajar sangatlah sukar dikawal 'rajuknya'. Dan kalau TV sememangnya dah tertutup, pujuk lah, nanti mesti ada cerita 'best' yang lain atau mungkin 'Boboiboy' ada ulangannya nanti atau, minta saja mereka rekod! Selamat!

Keempat, kena ada seni 'give and take'. Ada sesetengah pelajar memang agak suka menguji kesabaran. Kadang-kadang sengaja membaling alat tulis tanda protes. Diingatkan jangan ambil apa yang dia baling tapi pujuk supaya dia ambil sendiri. Bagaimana? Bawa pensel dan pemadam kiut sebagai 'spare' di dalam beg. Kalau dia tetap meragam, pujuk guna pensel dan pemadam kiut tersebut dahulu. Mungkin juga boleh gunakan menyebut, 'pensel dan pemadam magik cikgu'. Kalau awak jawab dengan pensel ni, mesti awak pandai. Tapi jangan setiap sesi anda guna taktik ini ya. Nanti, setiap sesi dia buang pensel dia.

Semoga artikel kali ini boleh digunakan buat sahabat yang masih pening memikirkan solusi terbaik menangani masalah pelajar meragam. Sampaikan ada yang terus 'give-up'. Jangan! Bila lagi mahu mencabar keupayaan diri. Ingat buatlah kerja apa pun, mesti ada isu tersendiri. Pandang ia dari sudut positif, pasti anda mampu lakukan yang terbaik! Semoga bermanfaat.


Monday, 9 November 2015

RESET MINDA

TEKS : Faizah Yusoff

Saya si bongsu antara tiga beradik perempuan dalam keluarga. Dan saya yang paling nakal. Buktinya, saya ada kawan-kawan yang semuanya 'happening' dan pelik. Saya ada kawan yang 'kena buang sekolah', saya rapat dengan kawan yang memang 'skema' kemain kat sekolah. Saya ada pula kawan yang ajak saya ponteng sekolah. Saya ada kawan yang takut-takut nak buat hal kat sekolah. Dan saya berkawan baik dengan kawan yang datang sekolah pukul 11! Itulah saya dan kehidupan.

Tapi saya ada kakak-kakak yang sangat sopan. Bezanya langit dengan bumi dengan saya seorang. Kakak saya berdua adalah orang yang paling santun yang pernah saya kenal seumur hidup saya. Mereka orang yang mendengar kata dan mebikut haluan yang baik-baik sahaja dalam hidup mereka. Dan sekarang mereka sudah menjadi ustazah. Alhamdulillah. Saya pula? Jadi cikgu tuisyen yang nakal. 

Sebenarnya, kadang-kadang hidup saya dibayangi kakak-kakak saya yang hebat. Ramai orang kenal mereka sebab mereka baik tapi ramai orang tak tahu kewujudan saya sebab saya terlalu tersembunyi. Sekarang bila masing-masing sudah besar, saya yang 'kecil' masih tetap dibayangi bayangan kejayaan kakak-kakak saya.

Apa saya nak cerita di sini ialah, itulah hidup. Ibubapa yang mencorak kehidupan anak-anak. Ada anak yang berjaya dalam pelajaran tapi ada anak lain berjaya dalam hidup bukan melalui sekeping ijazah. Ibu bapa cuma perlu menghargai keistimewaan anak masing-masing. Sesungguhnya kejayaan itu bukan hanya melalui sekeping ijazah, tapi mungkin jua hadir dari sudut kehebatan akhlak si anak yang disegani masyarakat dek akhlak yang baik. Bukankah sejuk perut si ibu yang mengandung?

Hari ini, kita sering memperlekeh mereka yang belajar agama. Dari sudut pemikiran songsang kita, orang yang mempelajari agama takkan pernah maju dan berada di tahap pemikiran kuno. Tapi kita tak sedar masyarakat kita semakin parah dek kerana menjauh dengan agama.

Saya dulu pernah belajar di sekolah agama penuh bermula dari Tingkatan Peralihan. (Saya belajar di Tingkatan 1 selama dua tahun-sekolah agama arab). Dan bila sampai di tahap SPM, saya mula goyah melihatkan rakan-rakan lain sudah ke matrikulasi. Saya batalkan niat untuk menyambung dalam bidang pengajian agama bila mendapat tawaran ke Kolej Matrikulasi. Dan sekarang saya rasa saya mahu mengulang pengajian agama dan memperoleh sijil agama tersebut semula. *Kalaulah ada peluang saya belajar.

Berbeza dengan kakak saya berdua, mereka lulusan pengajian islam. Nah , sekarang di mana mereka berbanding saya? Kadang-kadang terasa kerdil bila dibandingkan dengan mereka. Terutamanya bila berhadapan dengan masyarakat, mereka sering mengulang tanya ''yang ini ustazah di sekolah mana ya?'' Ya Allah, dulu jiwa saya bagaikan terbakar. Saya rasa saya hidup di sebalik bayangan kakak. Dan saya yakin, sahabat juga pernah ada rasa seperti saya. Mungkin hampir sama cerita kita. 
Yakinlah, rezeki Allah tetapkan untuk kita dalam pelbagai bentuk. Mungkin kita tiada wang berjuta tapi kita ada nikmat merasa apa yang kita nakkan dalam hidup. Saya cuma mahu terus bersama ibu ayah saya selagi saya tiada tanggungjawab 'mega' untuk saya pikul. Maka, di sinilah saya, menjadi seorang tutor di sebuah desa. Semoga legasi saya untuk mengajar anak jati kampung saya menemui titik kejayaan, Insya'Allah.

Sunday, 8 November 2015

PELUANG CUTI SEKOLAH

TEKS : Faizah Yusoff
FOTO : Carian Google

Cuti sekolah sudah hampir tiba. Ramai sahabat hometutor masih mencari-cari peluang apa untuk menambaik perkhidmatan hometuition. Hari ini saya ingin menampal contoh apa yang boleh kita hanya dalam 2 jam sehari tetapi mampu menjana pendapatan. Insya'Allah.
Cuba kira pendapatan anda kelak dengan contoh yang saya berikan di bawah ya. Tapi, mengajar biar ikhlas barulah semua pun puas hati. Kita gembira, pelajar pun faham, ibu ayah pun puas hati.
 "Don't make them pay for nothing".

CONTOH 1:

TUISYEN  DI TEMPAT ANDA.
TERBUKA KEPADA SEKOLAH RENDAH DAN MENENGAH.
BELAJAR SENDIRI ATAU BERKUMPULAN.
1. KELAS INTENSIF (SEMPUA)
2. KELAS LATIHTUBI (SUBJEK MATH, BM,SN &BI TAHUN 1-6)
3. KELAS LATIH TUBI PRA SPM 
3. KELAS MENGAJI @ BELAJAR TAJWID
4. KELAS BAHASA ARAB
5. KELAS BELAJAR JAWI
SATU HINGGA 5 KALI SEMINGGU.
PENDAFTARAN RM50
BULANAN BERMULA RM30.00 HINGGA RM150.00.

"POTONGAN HAMPIR 50% BUAT PENDAFTAR AWAL YANG MEMPERKENAL PELAJAR LAIN"
DAFTAR SEGERA
MAKSIMUM 5 PELAJAR SETIAP SESI.

CONTOH 2:
KELAS DEWASA DI TEMPAT ANDA (OFIS ATAU RUMAH).
TERBUKA KEPADA SEMUA.
BELAJAR SENDIRI ATAU BERKUMPULAN.
1. KELAS TAJWID
2. KELAS MENGAJI AL-QUR'AN.
3. KELAS BELAJAR FARDHU AIN


Di atas ialah antara yang boleh anda lakukan sempena cuti sekolah. Pilihlah di mana kemahiran anda dan apa yang mampu anada beri kepada pelajar. Saya juga mungkin akan mengadakan kelas latihtubi PRA SPM tersebut. Semoga urusan kita semua dipermudahkan ya sahabat hometutor sekalian. 

Saturday, 7 November 2015

SAYA MAMPU LAKUKANNYA!

TEKS : Faizah Yusoff

Entri ke 30. Pejam celik pejam celik sudah hampir sebulan rupanya saya menjadi sebahagian daripada keluarga besar ABDR. Dengan idea-idea hometuition dan sedikit sebanyak perkongsian pengalaman yang tak seberapa, saya mampu istiqamah meneruskan perjuangan di medan blog ini. Alhamdulillah wa syukurillah. 
Seperti biasa iman tetap turun naik. Bila lihat kawan berjaya, hati sering tergugat, ''aku, bagaimana pula?'' Bila melihat kawan pergi ke sana sini bercuti ke dalam dan luar negara, hati membisik ''aku, bila pula?'' Bila melihat teman sudah beranak dua, hati terdetik, ''aku tak layak lagi''. Itulah hati. Qalbun. Yang sentiasa berbolak-balik. Yang pasti, kejayaan takkan hadir tanpa usaha. Dan ujian yang Allah hadirkan untuk kita adalah berdasarkan kemampuan kita jua.
Semalam saya berjumpa dengan beberapa rakan 'hometutor'. Memang sebulan sekali kami akan cuba berkumpul untuk membincangkan isu dan cadangan untuk menambahbaik perkhidmatan kami. Kami bergerak berkumpulan tetapi bayaran kelas adalah mengikut kelas masin-masing. Berjumpa sekadar mahu berkongsi cerita dan pandangan. Alhamdulillah setakat ini, kami masih kekal dan boleh berjumpa walau hanya sebulan sekali.
Sekiranya sahabat hometutor mahu bergerak secara berkumpulan, pastikan sentiasa berjumpa rakan ya untuk menambah baik perkhidmatan. Mana tahu anda boleh merancang aktiviti kemasyarakatan atau promosi bersama.
Promosi tuisyen di hujung tahun. Hujung tahun biasanya banyak kelas yang akan 'hold' sekejap. Ada keluarga yang akan bercuti atau pulang ke kampung dan macam-macam lagi. Ada pula ibu bapa yang mahukan anak-anak belajar walaupun sudah akhir tahun dan peperiksaan sudah tamat. Sekiranya anda adalah seorang ibu atau bapa, apa yang anda akan lakukan?
Sebenarnya skop perkhidmatan hometuition bukanlah berhenti setakat hometuition sahaja. Anda boleh mempelbagai dengan membuat seminar bahasa atau seminar mudahnya tajwid atau easy mathematics. Semua ini hanya menggunakan kepakaran anda dan boleh dilakukan di sebuah rumah pelajar tetapi dengan mengajak rakan-rakan pelajar yang lain. Nah! Inilah salah satu cara promosi yang boleh anda lakukan. Sebenarnya, apabila ibu bapa yakin dengan kemampuan kita, Insya'Allah setiap urusan terutamanya dalam memajukan diri anak mereka pasti akan disokong seratus peratus. Kata kuncinya, jaga hubungan anda bersama klien!
Sekiranya anda mempunyai modal, buatlah di satu tempat yang lebih kondusif dan selesa. Kalau mempunyai hubungan yang baik dengan pentadbir sekolah pula, bolehlah mengadakan program cuti sekolah di sekolah. Inilah promosi terbaik yang boleh anda lakukan.
Tetapi, harus diingat, apa yang bakal pelajar peroleh mestilah berbaloi dan berpadanan dengan apa yang ibubapa mereka bayar. 
Selamat mencuba dan semoga bermanfaat.

Friday, 6 November 2015

IDEA BUKA SYARIKAT 'HOMETUITION'

TEKS : Faizah Yusoff
FOTO : Carian Google


Setelah sekian lama menjadi tutor sambilan dari rumah ke rumah, kadang-kadang mengajar di rumah, apa rancangan kita untuk meneruskan legasi ini? Ya, membuka peluang kerja kepada sahabat atau orang lain. Sebenarnya untuk membentuk sebuah organisasi 'hometuition' tidaklah serumit membuka pusat tuisyen. Namun kedua-duanya tetap memerlukan komitmen yang berterusan. Apa bezanya?
Setakat yang saya tahu, untuk mendaftar sebagai pemilik pusat tuisyen, anda mesti berlatarbelakangkan pendidikan dan mempunyai senarai cikgu-cikgu sekolah yang mengajar di sekolah sebagai guru yang bakal mengajar.
'Hometuition' pula hanya mendaftar di SSM sebagai sebuah perniagaan. Tanpa latar belakang 'cikgu' pun boleh mendaftar, Insya-Allah.

Langkah pertama ialah lengkapkan diri anda sebagai pengurus sebelum memulakan langkah membuka syarikat 'hometuition'.

  1. Mudah bergerak bertemu klien.
  2. Mudah mesra dan peramah walaupun baru kenal.
  3. Mempunyai akses internet sebagai medium promosi.
  4. Menghadiri kursus berkaitan sekiranya ada peluang.
  5. Turut mengajar kalau ada kelas.
Nampak semcam remeh tapi inilah perkara penting bila sekali mendaftar sebagai pengurus 'hometuition'. Dedikasi, rajin dan sentiasa positif sememangnya perlu dalam membina semangat diri supaya terus maju. Tapi sebagai 'guru besar' dalam projek hometuition ini, nilai-nilai di atas perlu ada selain sudah mempunyai ilmu tentang ajar-mengajar ni ya.

Sebenarnya, tips mengurus hometuition ni yang paling penting emosi perlu sentiasa terkawal. Sebabnya, kita akan berjumpa dengan 1001 isu dan kerenah klien. Sebab utama ialah yang harus kita ingat ialah, klien takkan hantar anak untuk hometuition tanpa sebarang isu. Biasanya mungkin si anak sukar memberi tumpuan di sekolah atau sangat kurang bercakap dengan rakan sebaya dan ibubapa dan sebagainya. Maka, kenalah bersedia. 

Okey, semoga bermanfaat dan menjadi pengurus hebat ya semuanya.

Thursday, 5 November 2015

IDEA BUKA PUSAT TUISYEN

TEKS : Faizah Yusoff
FOTO : Faizah Yusoff

Seorang sahabat ada menghubungi saya bertanyakan pendapat kalau mahu buka sebuah pusat tuisyen. Saya katakan padanya, saya hanya mengajar di rumah sahaja. Dia mahukan pendapat saya memandangkan dia memang kosong pengetahuan tentang bisnes tuisyen ini.
Saya berfikir sekejap, saya memang ada sedikit idea pembaharuan untuk sesiapa yang ingin membuka pusat tuisyen. Bagaimana sekiranya sahabat ingin membuka sebuah pusat tuisyen, ya lah mana tahu kan sahabat memang ada rumah kosong yang boleh dijadikan pusat tuisyen atau bangunan pejabat kosong yang boleh diubahsuai menjadi pusat tuisyen kecil-kecilan untuk permulaan.

Beginilah, soalan pertama yang saya ingin tanyakan ialah, gurunya sudah adakah? Kata sahabat saya ini, ya, sudah ada. Guru Bahasa Inggeris. Alhamdulillah, Saya rasa mungkin sedikit kelebihan buatnya di situ. Sebab rata-rata di Kelantan memang ibu bapa mahukan guru tuisyen Bahasa Inggeris. Kiranya kalau boleh buat kelas Bahasa Inggeris sahaja pun sudah boleh jana pendapatan yang baik.

Saya katakan padanya, tumpukan pada satu atau dua sahaja subjek kritikal untuk permulaan dan adakan pakej pembelajaran. Kadar pula kenalah setimpal dengan apa yang bakal pelajar peroleh nanti. Dan carilah guru yang memang boleh dijadikan guru. Sebenarnya tak semua guru boleh dijadikan 'guru' ya pada zaman ini. Anda memang permata yang dicari sekiranya mampu menjinakkan pemikiran pelajar dan menampakkan subjek yang diajar adalah sangat mudah sebenarnya.

Kalau dulu zaman 2006 2007, masa saya SPM, pusat tuisyen akan menawarkan pakej tuisyen RM60 untuk 6 subjek utama. Contohnya kalau kelas sains tulen, subjek yang ditawarkan ialah, Matematik Moden, Bahasa Inggeris, Matematik Tambahan, Biologi, Kimia dan Fizik. Kiranya satu subjek RM10 sahaja. Ini kalau tak silap ingatan saya la. tapi, kelemahannya ialah kita tak boleh pilih kelas. Maksudnya, mungkin cikgu Matematik yang mengajar di kelas Akaun lagi 'best', tapi kita tak boleh lompat ke kelas tersebut. Itulah maksud saya cari subjek tumpuan dan cari guru yang sebenar-benarnya guru. Yang mampu membuat pelajar faham dengan sebaiknya dan ada pelbagai teknik pendekatan terhadap anak murid. Memang 'confirm' berjaya. Insya'Allah! Dia yang mendengar semakin bersemangat pula.

Kenangan terindah saya di pusat tuisyen dahulu. =)

Dahulu, saya pernah belajar secara berkumpulan di sebuah pusat tuisyen yang gurunya hanya seorang, mengajar Matematik Tambahan dan Matematik Moden sahaja. Tapi pelajarnya cukup ramai. Eksklusifnya guru saya ini ialah dia mampu mengubah persepsi pelajar tentang 'matematik tambahan sangat susah'. Saya memang berbangga pernah menjadi pelajar beliau. Sampai ke hari ini saya masih terserempak kadang-kadang dengan beliau. Terasa macam nak pergi menuntut balik dengan beliau. Nanti bolehlah saya mengajar Matematik Tambahan versi mudah pula. Wah, ini pun termasuk cita-cita terpendam saya.
Saya fikir, kelak kalau ditakdirkan saya berkahwin dan tinggal bukan di rumah ibu ayah lagi, saya mampu menjana pendapatan hanya sebagai cikgu tuisyen di rumah sambil bersama anak-anak. Wah, angan-angan. Insya'Allah!


Tuesday, 3 November 2015

MUDAH MEMBACA

TEKS : Faizah Yusoff
FOTO : Faizah Yusoff

Semalam saya mendapat tiga orang pelajar baru. Alhamdulillah, rezeki November mungkin. Memang setakat ini kelas tidak pernah kosong. Ada sahaja kelas baru yang datang menggantikan kelas lama yang berhenti sekejap atau sudah habis sekolah.Tapi setakat ini kelas saya pelajar hanya 'berhenti sekejap' untuk pergi bercuti sahaja dan kelas akan bersambung dengan pelajar yang sama atau adik kepada pelajar berkenaan sebab si kakak sudah habis belajar. Alhamdulillah.

Saya mulanya berfikir panjang juga mahu terima atau tidak pelajar tiga beradik ini. Mereka berumur 8, 7 dan 6 tahun. Yang paling si ibu minta saya tekankan ialah yang berumur 7 tahun. Kata ibunya, dia paling susah membaca. Benda yang sama yang ditanya pun dia sudah lupa. Saya macam tergugat sebab saya selama ini hanya mengajar pelajar yang sudah pandai membaca dan hanya lambat membaca tapi sudah kenal huruf. Yang ini masih tertukar-tukar huruf ABC. Tapi akhirnya saya terima mereka bertiga. Saya rasakan ini satu cabaran baru dalam bidang ini Insya'Allah saya berjanji pada diri sendiri untuk ajar sampai dia pandai membaca.

Saya mula berkira-kira, buku apa yang patut saya guna. Alhamdulillah sedikit kelebihan apabila kakak saya memang suka membeli buku untuk anak-anaknya sebagai bahan bacaan dan katanya bolehlah saya guna untuk dijadikan bahan mengajar. Sudah memang cara saya, untuk kelas pertama saya hanya banyak memberikan aktiviti pelbagai sebab nak tahu apa minat pelajar tersebut dan saya cuma menyediakan bahan mengajar yang dipinjam dari anak saudara saya sahaja.


Akhirnya, ini yang saya guna. Siri Bacalah Anakku dan Rajin Belajar Nombor & Bentuk. Sengaja saya menggunakan teknik campur BM dan Matematik untuk tahu sejauh mana mereka mengenal subjek tersebut. Dan apa yang saya peroleh ialah, nombor dan bentuk dia kenal, menulis pun memang dan cantik tetapi huruf dia lupa dan bunyi huruf pun masih tertukar-tukar. Mungkin saya dah tahu apa patut saya buat untuk kelas seterusnya, Insya'Allah. 

Ini kaedah-kaedah yang dah saya guna dan bakal guna lagi.

Mengenal bunyi bagi huruf i.

Berjaya mengenal bentuk dengan cemerlangnya! Syabas!

Juga mengenal nombor dengan jayanya! Alhamdulillah.


Saya AKAN gunakan kaedah kotak-kotak untuk dia mengingat dan mengenal huruf.

Juga ini untuk meneka huruf besar. 

# Tips: Sediakan kertas berwarna bersaiz kotak di atas, dan minta pelajar susun kertas mengikut huruf. Contohnya kuning untuk huruf M, ambil kertas kuning di atas huruf M yang ditutup dan lekatkan di atas huruf M di muka surat sebelahnya. Begitulah seterusnya.
Elok diguna kertas 'adhesive' yang lekat-lekat manja.

Buat si kakak yang sudah pandai membaca, saya akan gunakan kaedah biasa dan kadang-kadang kaedah kotak-kotak ini boleh digunakan untuk diselang-seli dengan aktiviti menulis. Buat si adik yang 6 tahun saya hanya akan mengajarnya bersama si abang dan diselang-selikan dengan aktiviti mewarna.

Wah sesi pembelajaran saya semakin berwarna-warni nampaknya. Siapa sangka saya yang pernah menjadi si bongsu selama sedekad lebih ini sudah mampu bersabar dengan budak-budak. Satu penambaikan yang memang baik nampaknya. 
And yes. I love my job.

Semoga bolehlah sahabat mencerna idea daripada entri saya kali ini ya. Semoga bermanfaat.

notakaki: Kaedah di atas boleh digunakan oleh tutor yang mempunyai isu mengajar pelajar lambat mengenal huruf atau ibu bapa yang ingin mengajar sendiri anak-anak. sekian.


Monday, 2 November 2015

HOMETUITION SEBAGAI PENDAPATAN AKTIF KE PASIF?

TEKS : Faizah Yusoff
FOTO : Carian Google


Idea menulis tentang cara menjana pendapatan terus saya gali dan cari dalam meneruskan langkah untuk bersama sahabat ABDR yang saya rasakan hebat-hebat belaka. Komuniti yang terbina atas dasar ukhuwah memartabatkan 'title' suri rumah berjaya! Syabas semua. Saya tidaklah seorang suri rumah berjaya lagi setakat ini cuma Insya'Allah ke arah itu. Saya berasa bertuah berada dalam kalangan sahabat-sahabat yang hebat. Mulianya niat kalian untuk menjaga anak-anak dan membesarkan mereka dengan tangan sendiri sambil menjana pendapatan untuk membantu keluarga. Subhanallah. Saya berdoa supaya saya terus tabah berada dalam kalangan tuan puan sahabat yang hebat ini.

Saya pernah terbaca tentang konsep kaya cepat. Bagaimana mahu kaya cepat tetapi tidak bertentangan dengan hukum alam dan hukum Tuhan. Maka jawapannya ialah mencari pendapatan pasif. Apakah pendapatan pasif?
Baiklah saya ingin jelaskan kita di Malaysia kebanyakannya terdiri daripada pekerja kerajaan atau pekerja swasta. Mudahnya disebut makan gaji. Inilah yang dikatakan sebagai pendapatan aktif. Pendapatan tetap yang diperoleh setiap hujung bulan.
Pendapatan pasif pula kerja-kerja 'backup' yang kita buat untuk mendapat pendapatan tambahan. tapi harus diingat mengikut kajian, kurang 10% yang menjana wang melalui pendapatn pasif sahaja tapi memperoleh pendapatan melebihi pendapatan aktifnya.

Ramai yang melakukan hometuition secara part time dan menganggap ia sebagai 'backup' duit poket sahaja. Tapi berapa ramai yang terlibat secara serius dan memperoleh pendapatan bulanan hanya dengan mengajar hometuition melebihi gaji seorang guru sepenuh masa. Sedangkan hanya 2 hingga 6 jam sahaja masa sehari yang diperuntukkan. Inilah rahsia pendapatan pasif yang ramai orang tak sedar.

Ada orang tanya saya, kenapa mesti hometuition? Tak penat ke ulang alik rumah orang? Tak malu ke pergi rumah orang tekan-tekan loceng macam menjual. Kenapa tak buka gerai je meniaga depan rumah? Kalau minat mengajar kenapa dulu tak 'apply' mengajar? Kenapa tak buka kelas tuisyen je kalau memang pandai mengajar? Kan lagi banyak dapat 'income'.

Makcik, kakak, abang, nyang... Kena ingat, saya mengajar begini kerana kebebasan masa. Saya tidak terikat dengan sistem pendidikan yang semakin hari semakin pelik, saya cuma perlu ikut teknik sahaja untuk memahamkan pelajar saya. Saya tak buka kelas tuisyen sebab bila berkelas, ramai pelajar, saya tak dapat tumpu pada pelajar yang lemah. Tapi membuka kelas tuisyen memang termasuk dalam 'goal' saya untuk jangka masa panjang. Insya'Allah. Dan kenapa saya nak malu tekan-tekan loceng rumah orang sedangkan saya membawa ilmu untuk dikongsi bersama. Dalam kepunahan akhlak anak remaja sekarang, saya rasakan ini merupakan platform dakwah yang boleh dibuat.
Bukanlah mengatakan diri sendiri sudah hebat, tapi berbekalkan sedikit pengetahuan agama, insya'Allah tabir diri akan terpelihara. Sekurang-kurangnya kita mengajar mereka membaca Alfatihah dengan betul. dan ini jua satu medan untuk berdakwah kan? Berbanggalah orang yang bergelar guru.

Kembali kepada cerita hometuition sebagai pendapatan pasif atau aktif. Hanya diri sendiri yang ada jawapan tepat. Mungkin ada yanga akan berkata ''kerja takde masa depan, takde pencen, baik kerja makan gaji saja''. Tanya diri anda kembali, makcik ni boleh baca masa depan kah?
Tepuk dada tanya iman.

Teringat kisah diri sendiri, sampai pada satu tahap saya membuat keputusan untuk berhenti mengajar dek kerana tak tahan dengan pandangan orang. Ramai yang menyokong saya menyambung pelajaran kerana memanglah dalam adik beradik saya, saya agak menonjol dari segi cepat belajar. Jadi kata mereka sesuai sekali kalau saya sambung belajar. Akhirnya saya mendapat tawaran sambung belajar di UPM dan UMK. Saya membuat keputusan untuk menyambung master di UPM. Tetapi sebelum masuk belajar, ada beberapa perkara yang saya mulai sedar apabila berada di sana. Walaupun sudah bayar yuran, saya nekad kembali ke rumah dan meneruskan apa yang saya buat selama ini. Mengajar tuisyen. Menjadi tutor. Jiwa saya bukan di sana. Apabila pulang, saya kembali mendapat kelas lama saya bahkan terus bertambah kelas sehingga hari ini.

Kenapa saya suka kongsikan di sini supaya sahabat suri rumah lain mengajar hometuition? Kerana tak lebih dua jam pun anda mengajar sama ada di rumah jiran mahupun pelajar datang ke rumah. Bahkan ada suri rumah yang mampu mengajar hanya dengan membuak sebuah bilik di rumahnya dan mengajar smabil mengendong si kecil dek kerana minat mendalam. Subhanallah. Ini bukan sekadar cerita rekaan.

Semoga perkongsian ini mampu menaikkan semangat anda dan membuka minda apa yang patut dibuat dalam hidup. Semoga bermanfaat. Pada saya, masa adalah segalanya. Bagaimana harus diatur masa kita, hanya kita ada jawapannya.

Sebelum anda pergi tidur malam ini, tanya kepada diri anda soalan ini:

“Berapa peratuskah dalam sehari masa yang saya luangkan untuk mencipta pendapatan secara pasif?” 

Gambar- Gambar Kelas 2024

  kelas di pusat tuisyen. open air class (kat kampung). Antara gambar yang sy simpan.Latest picture in 2024. Kisah bermula semasa PKP 2021, ...